Ujian dan Dugaan: Tanda Allah Sayang
Hambanya
Assalamualaikum...
Bismillah. Terima kasih Ya Allah, i love u ALLAH... Semoga tulisan
ini memberi manfaat dan berguna di hati pembaca. Apa yang paling penting, saya
memohon kepada Allah S.W.T agar penulisan yang dhoif ini sebagai amal jariah
yang berterusan pahalanya kepada semua orang.
"Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah
beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui
orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang
dusta..."
(Al-Ankabut : 2 & 3)
Di dalam hidupnya ini,
setiap manusia ditimpa ujian. Ujian yang melanda setiap manusia adalah
bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya dan setiap orang pula berbeza
tahap tanggunganya serta penerimaan terhadap ujian dan dugaan yang diberikan. Oleh
itu, sering kali kita terdengar luahan rasa, ketidakpuasan hati, keluahan
insan-insan yang berputus asa ketika diuji. Ada kalanya, mereka mencari jalan
penyelesaian yang salah dengan mencederakan diri sendiri, menyakiti diri
sendiri, dan menyeksa diri sendiri. Selain itu, ada juga yang menyalahkan
takdir yang menimpa diri, mengatakan ketidakadilan terhadap mereka. Mereka memikirkan
Allah tidak menyayangi diri mereka kerana Allah bersifat tidak adil terhadap
mereka dengan ujian yang diberikan bertimpa-timpa, tidak henti-henti. Nauzubillah,
minta dijauhkan daripada menyalahkan semuanya...
Apakah tindakan kita
sebagai hamba Allah ketika menghadapi ujian yang diberikan dalam hidup?
Adakah kita BUNUH DIRI, atau SOLAT TAUBAT?
Adakah kita MENANGIS, MERAUNG,
MENGAMUK, MARAH
atau BERDOA?
Dengan menangis,
meraung, mengamuk atau marah adalah satu perkara yang sering dilakukan oleh
setiap manusia untuk mengekspresikan rasa di dalam hati. Tapi percayalah air
mata yang jatuh di atas sejadah itu lebih baik dari air mata yang jatuh di atas
bantal. Janganlah kita cepat berputus asa dalam meniti ujian yang datang. Janganlah
juga kita mencari salah siapa atas dugaan yang menimpa kita.
Sebagai hamba-Nya kita
mestilah redha atas setiap ketentuan-Nya, melapangkan dada, dan bukalah minda
agar dapat berfikir dengan tenang. Kita hendaklah yakin dengan setiap dugaan
yang menimpa kita ada hikmahnya yang tersendiri. Tengok, betapa halus cara
Allah mendidik kita agar tak terleka dalam dunia yang fana ini. Dengan diuji,
diberi dugaan, kita tahu bahawa Allah masih mengambil berat terhadap kita. Allah
menguji hamba-Nya adalah untuk mengetahui tahap keimanan mereka, untuk mengetahui
tahap kecintaan seorang hamba terhadap Allah dan juga untuk mengetahui tahap
kesabaran mereka dalam musibah yang menimpa mereka.
7 Langkah Menghadapi
Ujian Hidup:
- 1. Sabar
- 2. Mendirikan solat
- 3. Berzikir
- 4. Membentuk kesedaran
- 5. Bertaubat dan beristighfar
- 6. Mengawasi diri
- 7. Doa mohon perlindungan
Ujian yang diberikan
oleh Allah kepada setiap hamba-Nya mestilah ditempuhi dengan SABAR. Sabar adalah satu perkara yang sangat
senang untuk diungkap oleh setiap orang akan tetapi untuk bersabar sangatlah
sukar. Sering kali kita dengar bilamana seseorang itu ditimpa musibah.
A: “aku sedih la, result aku sentiasa rendah dari
kawan-kawan kita.”
B: ala, sabar la, usaha lagi...”
A: “kau cakap senang la sebab kau tak berada
ditempat aku.”
Lihat, untuk bersabar
tidaklah semudah yang diungkap. Ya Allah, untuk bersabar dalm ujian-Mu sangatlah
perit, pedih, pahit dan segalanya. Oleh itu, sifat sabar amat perlu disemai dan
dibajai dalam diri setiap Muslim kerana pada hakikatnya kehidupan ini merupakan
satu medan perjuangan yang memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang bukan
sedikit. Maka dengan kesabaran, keyakinan diri, dan keimanan yang mantap akan
dapat menghadapi apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang.
Bagi orang yang
beriman, Allah telah memberi peringatan supaya bersabar dalam menghadapi
masalah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 yang
bermaksud:
“Hai orang-orang yang
beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan
bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.”
Kesabaran mestilah
disusuli dengan ketaatan kepada Allah untuk mengelakkan goyahnya iman serta
berputus asa. Oleh itu, dengan taat dan patuh kepada Allah, manusia akan redha atas ujian yang berlaku
dalam hidup. Nabi Muhammad s.a.w menyatakan bahawa Allah menyukai orang yang
bersabar. Ini sebagaimana terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas:
قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج
عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.” [Riwayat Muslim]
Selain itu, terdapat
juga satu hadis Nabi Muhammad s.a.w bahawa bersabar itu sangat perlu pada awal
kejadian atau perkara.
الصبر عند الصدمة الأولى
“Bersabar itu adalah
pada pukulan yang pertama.” [Riwayat Muslim]
Jika kita lihat pada
sudut logik akal, manusia ini diukur pada peringkat yang awal. Peringkat
pertama adalah yang paling penting dalam menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia
tidak mampu bertahan pada ujian yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia
mungkin akan rebah bilamana ujian ditimpa keatasnya. Jadi, di sini, bilamana kita
ditimpa ujian, maka penting sekali untuk kita membina ketahanan diri. Bukan
atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan tetapi, apabila seorang manusia sudah
mempunyai pengalaman pada yang awal tentu sekali dia sudah mula bersedia dan
menjadi lebih rasional dalam menghadapi ujian lain yang sama.
Wajib untuk kita bersabar, dan untuk kita bersyukur
kepada Allah Azza wa Jalla. Ini kerana orang yang diberikan musibah atau ujian,
pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Azza wa Jalla. Dan bersabarlah! Kerana
Allah bersama-sama orang yang sabar!
Firman Allah surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang
beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah
bersama-sama orang yang sabar.
Hadis Rasulullah s.a.w:
“Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wa sallam menjengukku tatkala aku sedang sakit, lalu
baginda berkata. ‘Gembirakanlah wahai Ummu Al-Ala’. Sesungguhnya sakitnya orang
Muslim itu membuatkan Allah mengampunkan dosa-dosanya, sebagaimana api yang
menghilangkan kotoran pada emas dan perak”. (HR Abu Daud)
Rasulullah SAW
bersabda, “Tidaklah seorang muslim menderita sakit karena suatu penyakit dan
juga lainnya, melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan
penyakit itu, sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya”. (HR Bukhari,
Muslim)
Oleh itu, kita mestilah berSABAR,
berSABAR dan berSABAR. BerSABAR
disini adalah bersabar dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah dengan
mencontohi sikap para Nabi. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang
diberikan oleh Allah pasti akan ada perkara yang lebih baik menanti.
InsyaAllah...
p/s:
Kalam yang dhoif ini khas untuk
pasangan Muhammad Rabbani dan Nurul Aunie Wajihah. Semoga kalian sentiasa sabar
dan tabah dalam menghadapi ujian yang diberikan Allah. Ujian adalah rahmat,
iaitu rahmat Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa meminta pertolongan. Semoga
kamu berdua sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T. InsyaAllah..

