Sunday, 11 May 2014

Ujian dan Dugaan: Tanda Allah Sayang Hambanya




Ujian dan Dugaan: Tanda Allah Sayang Hambanya


Assalamualaikum...

Bismillah. Terima kasih Ya Allah, i love u ALLAH... Semoga tulisan ini memberi manfaat dan berguna di hati pembaca. Apa yang paling penting, saya memohon kepada Allah S.W.T agar penulisan yang dhoif ini sebagai amal jariah yang berterusan pahalanya kepada semua orang.


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta..."
(Al-Ankabut  : 2 & 3)

Di dalam hidupnya ini, setiap manusia ditimpa ujian. Ujian yang melanda setiap manusia adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya dan setiap orang pula berbeza tahap tanggunganya serta penerimaan terhadap ujian dan dugaan yang diberikan. Oleh itu, sering kali kita terdengar luahan rasa, ketidakpuasan hati, keluahan insan-insan yang berputus asa ketika diuji. Ada kalanya, mereka mencari jalan penyelesaian yang salah dengan mencederakan diri sendiri, menyakiti diri sendiri, dan menyeksa diri sendiri. Selain itu, ada juga yang menyalahkan takdir yang menimpa diri, mengatakan ketidakadilan terhadap mereka. Mereka memikirkan Allah tidak menyayangi diri mereka kerana Allah bersifat tidak adil terhadap mereka dengan ujian yang diberikan bertimpa-timpa, tidak henti-henti. Nauzubillah, minta dijauhkan daripada menyalahkan semuanya...

Apakah tindakan kita sebagai hamba Allah ketika menghadapi ujian yang diberikan dalam hidup?

Adakah kita BUNUH DIRI, atau SOLAT TAUBAT?

Adakah kita MENANGIS, MERAUNG, MENGAMUK, MARAH atau BERDOA?

Dengan menangis, meraung, mengamuk atau marah adalah satu perkara yang sering dilakukan oleh setiap manusia untuk mengekspresikan rasa di dalam hati. Tapi percayalah air mata yang jatuh di atas sejadah itu lebih baik dari air mata yang jatuh di atas bantal. Janganlah kita cepat berputus asa dalam meniti ujian yang datang. Janganlah juga kita mencari salah siapa atas dugaan yang menimpa kita.

Sebagai hamba-Nya kita mestilah redha atas setiap ketentuan-Nya, melapangkan dada, dan bukalah minda agar dapat berfikir dengan tenang. Kita hendaklah yakin dengan setiap dugaan yang menimpa kita ada hikmahnya yang tersendiri. Tengok, betapa halus cara Allah mendidik kita agar tak terleka dalam dunia yang fana ini. Dengan diuji, diberi dugaan, kita tahu bahawa Allah masih mengambil berat terhadap kita. Allah menguji hamba-Nya adalah untuk mengetahui tahap keimanan mereka, untuk mengetahui tahap kecintaan seorang hamba terhadap Allah dan juga untuk mengetahui tahap kesabaran mereka dalam musibah yang menimpa mereka.


7 Langkah Menghadapi Ujian Hidup:
  • 1.      Sabar
  • 2.      Mendirikan solat
  • 3.      Berzikir
  • 4.      Membentuk kesedaran
  • 5.      Bertaubat dan beristighfar
  • 6.      Mengawasi diri
  • 7.      Doa mohon perlindungan




Ujian yang diberikan oleh Allah kepada setiap hamba-Nya mestilah ditempuhi dengan SABAR. Sabar adalah satu perkara yang sangat senang untuk diungkap oleh setiap orang akan tetapi untuk bersabar sangatlah sukar. Sering kali kita dengar bilamana seseorang itu ditimpa musibah.

A: “aku sedih la, result aku sentiasa rendah dari kawan-kawan kita.”

B: ala, sabar la, usaha lagi...”

A: “kau cakap senang la sebab kau tak berada ditempat aku.”

Lihat, untuk bersabar tidaklah semudah yang diungkap. Ya Allah, untuk bersabar dalm ujian-Mu sangatlah perit, pedih, pahit dan segalanya. Oleh itu, sifat sabar amat perlu disemai dan dibajai dalam diri setiap Muslim kerana pada hakikatnya kehidupan ini merupakan satu medan perjuangan yang memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang bukan sedikit. Maka dengan kesabaran, keyakinan diri, dan keimanan yang mantap akan dapat menghadapi apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang.

Bagi orang yang beriman, Allah telah memberi peringatan supaya bersabar dalam menghadapi masalah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud:

 Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.”


Kesabaran mestilah disusuli dengan ketaatan kepada Allah untuk mengelakkan goyahnya iman serta berputus asa. Oleh itu, dengan taat dan patuh kepada Allah,  manusia akan redha atas ujian yang berlaku dalam hidup. Nabi Muhammad s.a.w menyatakan bahawa Allah menyukai orang yang bersabar. Ini sebagaimana terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas:

 قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة

Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.” [Riwayat Muslim]


Selain itu, terdapat juga satu hadis Nabi Muhammad s.a.w bahawa bersabar itu sangat perlu pada awal kejadian atau perkara.

الصبر عند الصدمة الأولى
“Bersabar itu adalah pada pukulan yang pertama.” [Riwayat Muslim]


Jika kita lihat pada sudut logik akal, manusia ini diukur pada peringkat yang awal. Peringkat pertama adalah yang paling penting dalam menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia tidak mampu bertahan pada ujian yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia mungkin akan rebah bilamana ujian ditimpa keatasnya. Jadi, di sini, bilamana kita ditimpa ujian, maka penting sekali untuk kita membina ketahanan diri. Bukan atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan tetapi, apabila seorang manusia sudah mempunyai pengalaman pada yang awal tentu sekali dia sudah mula bersedia dan menjadi lebih rasional dalam menghadapi ujian lain yang sama.


Wajib untuk kita bersabar, dan untuk kita bersyukur kepada Allah Azza wa Jalla. Ini kerana orang yang diberikan musibah atau ujian, pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Azza wa Jalla. Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang yang sabar!

Firman Allah surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar.

Hadis Rasulullah s.a.w:

“Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menjengukku tatkala aku sedang sakit, lalu baginda berkata. ‘Gembirakanlah wahai Ummu Al-Ala’. Sesungguhnya sakitnya orang Muslim itu membuatkan Allah mengampunkan dosa-dosanya, sebagaimana api yang menghilangkan kotoran pada emas dan perak”. (HR Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang muslim menderita sakit karena suatu penyakit dan juga lainnya, melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan penyakit itu, sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya”. (HR Bukhari, Muslim)


Oleh itu, kita mestilah berSABAR, berSABAR dan berSABAR. BerSABAR disini adalah bersabar dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah dengan mencontohi sikap para Nabi. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti akan ada perkara yang lebih baik menanti. InsyaAllah...

p/s: 
Kalam yang dhoif ini khas untuk pasangan Muhammad Rabbani dan Nurul Aunie Wajihah. Semoga kalian sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang diberikan Allah. Ujian adalah rahmat, iaitu rahmat Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa meminta pertolongan. Semoga kamu berdua sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T. InsyaAllah..